Sejarah PPD Batu Pahat

    Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat merupakan sebuah institusi pengurusan pendidikan yang ditubuhkan pada 1913 dan mula beroperasi di Jalan Mohd Khalid, kemudian berpindah di No 1 Jalan Pejabat pada 1960  seterusnya bertapak dalam  kawasan seluas 0.5 hektar di Jalan Zaharah mulai 1 Disember 1999. Perpindahan ini tentunya bagi menghambat ledakkan kemajuan pendidikan yang memerlukan lokasi yang strategik dan kemudahan yang kondusif.

    Bermula dengan Pegawai Pendidikan Daerah yang pertama dikenali sebagai Pengelola En Mohd Doon b Taib yang berkhidmat dari tahun 1913 hingga 1928, Kini PPD Batu Pahat terus mengorak langkah ke hadapan dengan diterajui oleh pihak pengurusan yang berwawasan dan dibantu oleh pegawai perkhidmatan pendidikan serta staf sokongan yang berdedikasi.

    Sesungguhnya gagasan pemikiran dan tahap bekerja pegawai dan kakitangan memperlihatkan keikhlasan bagi mengangkat darjah profesionalisme perkhidmatan perguruan untuk menerus perjuangan membina negara bangsa beridentiti nasional, bersatu padu dan berintegriti. Justeru itu, PPD Batu Pahat menampilkan kesungguhan dan keutuhan, menerajui pertumbuhan modal insan dalam pengurusan pendidikan selangkah dihadapan.

    Di PPD Batu Pahat kami menggalas harapan masyarakat, merealialisasikan impian generasi baru negara, mengaplikasikan aspirasi pendidikan Kebangsaan, bagi menuju pendidikan bertaraf dunia menjelang 2020. Segala dasar dan aktiviti yang dilaksanakan berpegang kepada visi ‘Sekolah Unggul Penjana Generasi Cemerlang.

    Visi murni itu dizahirkan melalui misi membangun potensi individu melalui pendidikan berkualiti yang diterajui oleh Pegawai Pelajaran Daerah Batu Pahat dan dibantu oleh paduan tenaga kakitangan pendidikan dan staf sokongan yang distruktur kepada 8 unit utama dengan peranan dan spesifikasi tugas masing-masing.

    Setiap Unit  sederap selangkah berganding tenaga bagi mencapai cita-cita unggul memacu kecemerlangan pendidikan di daerah Batu Pahat bagi menjunjung aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia. Dibawah pentadbiran PPD Batu Pahat terdapat 176 buah sekolah terdiri daripada:

BIL JENIS SEKOLAH JUMLAH
1 Sekolah Menengah Harian 26
2 Sekolah Rendah Harian 104
3 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 36
4 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) 3
5 Kolej Vokasional 2
6 SMA 4
7 SRAB 1
JUMLAH 176

    Selaras dengan gelombang maklumat dan pengetahuan serta peralihan invensi kepada inovasi yang drastik setiap sekolah sentiasa kami dampingi bagi memastikan potensinya mencapai kualiti pendidikan secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan modal insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.

    Bagi tujuan itu sekolah-sekolah di daerah Batu Pahat dilengkapkan dengan kemudahan yang mencukupi dan berkualiti dengan tumpuan khusus di sekolah luar bandar agar jurang perbezaan dapat dikurangkan terutama dalam aspek infrastruktur bagi memastikan sekolah menjadi pusat kecemerlangan.



© 2021 PPD Batu Pahat. Hak Cipta Terpelihara.